KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan bagi meneliti semula keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis dalam kes kematian pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, rayuan yang difailkan minggu lalu di Mahkamah Rayuan itu antara lain bertujuan meneliti kemungkinan mengembalikan pertuduhan asal terhadap tertuduh iaitu membunuh.
“Rayuan itu kita mahu meneliti segala aspek kes ini. Sama ada perlu hujah atau perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal iaitu membunuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor di sini, hari ini.








