SEPANG: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin tetap bangga dengan pencapaian anak didiknya, Hakim Danish Ramli meskipun pelumba negara itu terlepas peluang menaiki podium pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish tidak dapat menyamai pencapaian Zulfahmi yang masih memegang rekod sebagai pelumba terbaik negara di GP Malaysia selepas meraih podium kedua 14 tahun lalu, juga dalam kelas Moto3.

Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, terpaksa berpuas hati dengan penamat keempat selepas gagal memintas pemenang tempat ketiga, Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di selekoh terakhir dengan Veda Pratama (Honda Team Asia) meraih tempat kedua.