Kuala Lumpur: Bermula sebagai pemain kelayakan, pemain amatur Thailand, Marisa Tojai hampir mencipta kejutan besar apabila memberi tentangan sengit kepada barisan pemain ternama sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga pada Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC), hari ini.
Pemain berusia 17 tahun itu mencuri tumpuan pada hari terakhir apabila mempamerkan aksi bertenaga untuk menghambat pendahulu sekali gus memberi tekanan kepada juara bertahan, Miyu Yamashita.
Selepas membuka kempen dengan catatan par 72 pada hari pertama, Marisa bangkit dengan dua pusingan berturut-turut tujuh di bawah par 65 pada hari kedua dan ketiga untuk meletakkan dirinya dalam kelompok pencabar kejuaraan.










