Tunggakan Zetrix AI Bhd kepada JPJ membabitkan bayaran fi dan saman yang dikutip sejak Mei lalu.

PETALING JAYA: Zetrix AI Berhad berkata pihaknya sedang berbincang untuk menyelesaikan penggantungan perkhidmatannya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkuat kuasa hari ini.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan mengesahkan perkhidmatan kutipan bagi pihak JPJ telah digantung dan memaklumkan pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.

Penggantungan tersebut menyusul selepas laporan mendakwa Zetrix berhutang lebih RM200 juta kepada JPJ, membabitkan dana dikutip bagi pembayaran cukai jalan, pembaharuan lesen memandu, serta saman trafik.