JUMAAT lalu, kita dikejutkan dengan berita mengenai sebuah premis di Puchong, Selangor dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar yang diserbu pihak berkuasa.

Serbuan menerusi Op Taring Chiller itu mendedahkan ayam-ayam hidup di premis tersebut dipercayai melalui kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik atau ‘water bath stunning’ sebelum proses penyembelihan dilakukan.

Pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi menyebabkan unggas itu mati serta-merta sebelum disembelih.

Sudah tentu keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap aspek pematuhan hukum syarak dan status halal ayam yang diproses di premis berkenaan. Ini kerana, ayam yang sudah mati sebelum disembelih tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.