Puchong: Kilang yang diserbu polis kerana disyaki menyembelih 'bangkai' ayam untuk pasaran Lembah Klang, Jumaat lalu dipercayai mampu memproses kira-kira 40,000 ekor ayam sehari.

Lebih mengejutkan, semua 12 pekerja kilang berkenaan adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.

Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemilik kilang terbabit adalah seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an.

"Kilang berkenaan dipercayai sudah beroperasi kira-kira 10 tahun, malah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah beberapa kali memberi amaran kepada premis terbabit, namun tidak diendahkan.