Shah Alam: Kerajaan Selangor terus memperluaskan Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) apabila kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di negeri itu bakal menerima sarapan percuma sepanjang tempoh peperiksaan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bertujuan membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih baik selain memberi sokongan dan meningkatkan semangat mereka.
"Kerajaan negeri sedang menyiapkan proses menyedia keperluan makanan untuk 70,000 pelajar SPM yang sudah menjalani peperiksaan bermula hujung bulan lalu.
"Waktu peperiksaan (tempoh masih berjalan), kita sediakan makanan pagi atau makanan sewajarnya kepada anak-anak ini. Pelaksanaannya akan diumum dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel dan Mega Nutrisel 2026, di sini, hari ini.









