KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti badan induk itu.

FAM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan Mohd Shuhaily terpaksa menolak pelantikan itu berikutan kekangan masa dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Justeru, FAM menghormati keputusan berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada Mohd Shuhaily atas kesediaan dan komitmen beliau sebelum ini untuk membantu badan induk itu dalam memperkukuhkan aspek integriti dan tadbir urus.

"FAM akan memastikan kelancaran fungsi Jawatankuasa Integriti terus diberi perhatian bagi menyokong usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus FAM," menurut kenyataan badan induk itu.