PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) dijangka mampu mengekalkan kuasa di Melaka dengan memperoleh majoriti mudah sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menerusi kerjasama BN Plus.

Penganalisis politik, Dr. ­Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menghasilkan pemindahan undi dua hala atau transfer vote yang mampu memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan jangkaan awal, BN Plus berpotensi menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN, dengan BN dijangka memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi.

“Jangkaan awal saya berdasarkan kepada kerjasama BN Plus akan menghasilkan kemenangan 24 kerusi menerusi transfer vote dari dua arah iaitu BN ke PN dan PN ke BN. Jangkaan ini melibatkan 21 kerusi akan dimenangi BN manakala tiga lagi kerusi akan dikuasai PN,” katanya kepada ­Kosmo!