Kisah seorang guru terpaksa terjun ke dalam Sungai Perak untuk menyelamatkan diri daripada serangan komunis merupakan antara detik yang tersemat dalam lipatan 100 tahun sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Bekor di Kampung Bekor, Kuala Kangsar.
Keadaan cemas itu dialami oleh Cikgu Ahmad Monak pada 15 Januari 1944 kerana difahamkan dia enggan menyertai gerakan bersenjata.
Kisah tersebut boleh dibaca menerusi pameran Terowong Masa yang disediakan di SK Bekor, sempena sambutan 100 tahun sekolah itu baru-baru ini.
Sekolah itu dibangunkan tahun 1926 dengan nama asalnya, Sekolah Melayu Bekor, yang pada mulanya hanya merupakan sebuah bangsal beratapkan rumbia dan berdinding buluh.







