Janji temu bukan sekadar peluang untuk mengenali hati budi pasangan, sebaliknya turut melibatkan perbelanjaan yang adakalanya boleh membebankan, terutama apabila kos makan, pengangkutan dan aktiviti bersama semakin meningkat.
Bagi sesetengah pasangan, keluar bersama mungkin perkara biasa yang dilakukan untuk meluangkan masa dan mengeratkan hubungan, namun, di sebalik momen manis itu, persoalan tentang siapa yang perlu membayar bil sering menjadi perkara yang tidak dibincangkan secara terbuka.
Dalam kebanyakan keadaan, lelaki masih dilihat sebagai pihak yang perlu menyediakan wang untuk menanggung perbelanjaan ketika keluar bersama pasangan.
Keadaan itu turut mencetuskan persoalan sama ada tanggungjawab membayar ketika janji temu masih dianggap sebagai peranan lelaki atau sepatutnya dikongsi secara bersama.










