KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan momentum cemerlang apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Korea, sekali gus menghidupkan peluang memburu kejuaraan kedua berturut-turut di Jelajah Dunia.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk melepasi halangan pusingan kedua selepas menewaskan beregu Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh yang menghuni ranking ke-32 dunia dengan keputusan 24-22, 21-12, hari ini.

Kemenangan itu dicapai dalam tempoh 33 minit, sekali gus mengesahkan kemaraan pasangan pilihan ketiga kejohanan berkenaan ke kelompok lapan terbaik kejohanan berstatus Super 500 itu.

Wei Chong-Kai Wun masih segar dengan kejayaaan muncul juara Terbuka Perancis, hujung bulan lalu dengan menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.