STUTTGART: Pembekal automotif Jerman, Bosch merancang untuk mengurangkan lagi 750 pekerjaan di Jerman menjelang akhir 2029, susulan keadaan ekonomi yang mencabar dan perubahan struktur dalam sektor automotif, menurut syarikat yang sedang berdepan kesukaran itu pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Pengeluaran kenderaan global mengalami kemerosotan manakala permintaan di Eropah semakin menurun. Pada masa sama, tekanan persaingan dari segi kos, kepantasan dan produktiviti semakin meningkat, khususnya daripada pembekal Asia," menurut Bosch.
Pengurangan pekerjaan itu akan melibatkan sektor mobiliti di kilang syarikat berkenaan di Abstatt, yang terletak di utara Stuttgart.
Sektor mobiliti Bosch, yang turut mengeluarkan peralatan kuasa, perkakas rumah, teknologi perindustrian serta teknologi tenaga dan bangunan, merupakan antara bahagian yang paling terjejas akibat langkah pengurangan kos syarikat itu.









