Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengambil sampel petrol RON95 dari 11 stesen minyak di beberapa daerah untuk dianalisis susulan dakwaan bahan api itu bercampur air seperti tular baru-baru ini.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Nizam Jamaludin berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan orang ramai bahawa kenderaan mereka rosak selepas mengisi minyak di stesen terbabit.

"Pasukan penguat kuasa KPDN telah menjalankan pemeriksaan di 11 stesen minyak pada hari ini dan mengambil sampel bahan api dari tangki atau pam yang terlibat untuk tujuan pemeriksaan serta analisis lanjut.

"Pemeriksaan awal melalui kaedah manual dipping dan semakan bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG) tidak menunjukkan kehadiran air di dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa," menurutnya dalam kenyataan hari ini.