KUALA LUMPUR – Nile Tech Sdn Bhd tidak diberikan akses kepada pangkalan data aplikasi MyJPJ selain tiada maklumat profil pengguna dihantar secara automatik kepada syarikat itu menerusi pautan pembaharuan insurans dalam aplikasi itu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan perkhidmatan pembaharuan insurans yang dipaparkan dalam MyJPJ hanya berbentuk pautan yang membawa pengguna ke portal Nile Tech untuk melengkapkan urusan dan transaksi.

“Apabila pautan tersebut dipilih, pengguna akan dibawa keluar daripada aplikasi MyJPJ ke portal Nile Tech. Semua urusan dan transaksi pembaharuan insurans dilaksanakan di portal itu.

“Sekiranya pengguna memilih untuk meneruskan urusan di portal Nile Tech, maklumat yang dimasukkan pengguna tertakluk kepada terma, syarat dan dasar privasi portal itu,” menurut MOT bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai langkah perlindungan bagi memastikan data peribadi pengguna tidak diakses oleh pihak ketiga.