MIRI: Tawaran wang kemenangan puluhan ribu ringgit menerusi peraduan gores dan menang di Facebook menjadi perangkap buat seorang lelaki apabila bukan sahaja gagal memperoleh hadiah dijanjikan, malah kerugian RM2,470 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata dalam kejadian 4 November lalu, mangsa berusia 32 tahun tertarik menyertai peraduan gores dan menang dijalankan secara langsung menerusi platform media sosial itu.

Katanya, mangsa kemudian membuat pembelian 20 keping kad dengan bayaran RM50 sebelum menggores semua kad itu seperti diarahkan penganjur.

Bagaimanapun, selepas selesai menggores kad berkenaan, mangsa dimaklumkan memenangi wang RM80,827.