SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan perubahan cuaca dan alam sekitar semakin memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Antaranya ialah masalah jerebu yang seolah-olah masih belum mempunyai penyelesaian jangka panjang.

Menurut laporan media, kejadian jerebu berpunca daripada pembakaran hutan di negara jiran. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti udara yang dihirup, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia, sektor ekonomi dan pendidikan.

Setakat ini, masih belum kelihatan mekanisme yang benar-benar ampuh untuk menangani masalah tersebut secara berkesan dalam jangka panjang.

Manusia yang rasional sememangnya memahami hutan di sekeliling kita perlu dijaga, dipelihara dan dipulihara supaya terus lestari, bukan sahaja untuk generasi hari ini tetapi juga masa hadapan. Malangnya, hutan bukan sekadar berdepan ancaman kebakaran, malah turut ditarah dan digondolkan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembukaan tanah secara haram bagi kegiatan pertanian.