Los Cabos: Pemain muda Amerika Syarikat, Ben James semakin hampir meraih gelaran sulung Jelajah PGA selepas melebarkan kelebihan kepada empat pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan World Wide Technology, di sini, semalam.
James mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat enam bawah par 66 untuk mengumpul keseluruhan 21 bawah par 195 di padang El Cardonal at Diamante yang direka legenda golf, Tiger Woods.
Pemain berusia 23 tahun itu memulakan saingan dengan kelebihan satu pukulan sebelum terus menguasai permainan menerusi tiga birdie berturut-turut pada tiga lubang pertama.
Dia kemudian mengekalkan rentak konsisten dengan hanya melakukan satu bogey di sembilan lubang pertama sebelum menutup pusingan dengan birdie di lubang ke-18 menerusi pukulan pendekatan yang meletakkan bola kira-kira 60 sentimeter dari lubang.








