MACHANG: Buah binjai yang semakin sukar ditemukan bukan sahaja menjadi buruan penggemar rasa masam dan manis, malah menjadi lubuk rezeki kepada peniaga di sepanjang jalan Machang-Kuala Krai di Kampung Batu, di sini.

Buah nadir yang sinonim dengan daerah Machang dan Kuala Krai itu mendapat permintaan menggalakkan setiap kali musimnya tiba pada September, biarpun semakin kurang dikenali terutama dalam kalangan generasi muda.

Seorang peniaga, Siti Khadijah Che Mat Razamin, 25, berkata, binjai manis enak dimakan segar, manakala binjai masam lazimnya dijeruk atau digunakan dalam masakan seperti sambal buah binjai.

“Pelanggan khususnya generasi muda, tidak mengenali buah binjai, tetapi bila saya beri rasa, mereka yang meminati rasa masam akan membelinya,” katanya.