KUALA LUMPUR – Pandangan, saranan dan kritikan membangun daripada golongan akademia berhubung pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal dibawa ke perhatian Jemaah Menteri untuk diteliti.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pandangan daripada golongan akademik penting bagi memastikan pelaksanaan RMK13 mencapai hasrat dan matlamat yang ditetapkan kerajaan.
Menurut beliau, pihak penganjur Persidangan Wacana Awam RMK13: Hala Tuju dan Cabaran, diminta menyediakan laporan berkaitan hasil perbincangan untuk dipanjangkan kepada Jemaah Menteri.
“Saya lihat input, saranan, pandangan, kritikan membangun yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademia ini penting untuk dihadam.
“Bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi, tetapi oleh setiap menteri,” katanya selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam RMK13: Hala Tuju dan Cabaran di sini, hari ini.










