Sebagai pengguna laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan setiap hari, saya teruja apabila beberapa penambahbaikan telah dilakukan oleh kerajaan dalam memberi keselesaan kepada penunggang motosikal.
Projek penambahbaikan sepanjang 48 kilometer (km) bagi kedua-dua arah di daerah Petaling dan Klang itu meliputi penurapan jalan, pemasangan lampu solar dan baik pulih longkang dianggar melibatkan kos RM20 juta.
Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib kira-kira 35,000 penunggang motosikal yang berulang-alik setiap hari melalui laluan tersebut untuk mencari rezeki buat keluarga.
Cuma satu, mungkin pihak berwajib terlepas pandang terdapat masalah yang belum selesai sejak sekian lama iaitu jalan masuk ke laluan motosikal menuju Kuala Lumpur berhampiran Hotel Sheraton, Petaling Jaya yang dinaiki air setiap kali hujan.








