HULU TERENGGANU – Seorang wanita muda dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuang mayat bayinya ke dalam longkang di Perumahan Awam Kos Rendah, Padang Setengah, Kuala Berang di sini, pada bulan lalu.

Majistret Athirah Hashim memerintahkan demikian selepas tertuduh, Nur Ain Adilin Mohd. Rofiza, 23, yang juga pembantu kedai makan membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM5,000 atau penjara tambahan lima bulan sekiranya gagal melunaskannya.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Ain Adilin didakwa menyembunyikan kelahiran anaknya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam longkang. Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Perumahan Awam Kos Rendah, Padang Setengah, Kuala Berang di sini pada pukul 10 malam, 15 Oktober lalu.