PENGENDALI skuad bawah 16 tahun negara (B-16), Shukor Adan mengakui kekalahan 0-2 kepada Palestin dalam aksi pembukaan Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada Ahad sebagai keputusan yang cukup mengecewakan untuk diterima.Menurutnya, perancangan taktikal yang disusun bagi memecahkan benteng pertahanan Palestin berjalan seperti dirancang, namun kegagalan menyudahkan beberapa peluang terbaik menjadi antara faktor yang menyaksikan skuad negara terpaksa menelan kekalahan.Beliau berkata, peluang terhidang sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin lebih-lebih lagi Malaysia beraksi di laman sendiri dan memiliki kesempatan untuk mendapatkan jaringan awal bagi mengubah corak permainan."Kita sudah merancang strategi untuk memecahkan struktur permainan Palestin dan saya rasa perancangan itu menjadi. Namun, kita mempunyai peluang tetapi gagal menyudahkannya."Akhirnya, kita dihukum dengan dua jaringan oleh Palestin. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain kerana ini sebahagian daripada bola sepak."Keputusan ini pedih untuk kita terima dan perkara yang mengecewakan pemain serta barisan kejurulatihan adalah kita bermain di laman sendiri. Sepatutnya kita boleh menghukum Palestin menerusi peluang-peluang yang diperoleh," katanya.Dalam perlawanan itu, Palestin membuka tirai jaringan menerusi Yazan Khalifah pada minit ke-17 sebelum Yousef Bustami menambah gol kedua pada minit ke-52 untuk memastikan kemenangan 2-0.Selepas ini, skuad negara dijadualkan berdepan Singapura dalam aksi kedua Kumpulan E pada Sabtu ini.