MELAKA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berehat sebentar daripada siri kempen hari ini untuk meluangkan masa bermesra dengan penduduk Kampung Bukit Godek, Semabok, sambil bermain dam haji.

Pertemuan mesra itu menyaksikan Johari bukan sahaja menunjukkan kemahirannya dalam permainan papan tradisional itu, malah muncul pemenang menentang penduduk tempatan.

Johari melawat kampung berkenaan bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, sebagai sebahagian daripada aktiviti kempen gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mohd Noor Helmy berkata, perlawanan spontan itu memberi peluang kepada penduduk untuk melihat keperibadian Johari yang merendah diri serta 'jiwa kampungnya'.