SHAH ALAM – Jualan Gudang Karangkraf melabuhkan tirainya pada Isnin selepas berlangsung selama 11 hari sejak 30 Oktober lalu dengan mencatatkan sambutan lebih baik berbanding penganjuran sebelum ini.Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, kategori buku kanak-kanak dan Islamik antara yang menunjukkan peningkatan permintaan sepanjang jualan gudang itu berlangsung.Menurutnya, tawaran harga lebih rendah bukan satu-satunya faktor yang mendorong pembelian kerana buku pada harga biasa juga mencatatkan peningkatan jualan.Pada masa sama, promosi Sebakul RM50 mendapat sambutan sangat baik apabila kebanyakan pengunjung mengambil peluang membeli buku untuk menambah koleksi sendiri atau dijadikan hadiah kepada keluarga dan kenalan."Promosi Sebakul RM50 mendapat sambutan sangat baik. Rata-rata pengunjung membeli buku sama ada untuk koleksi sendiri atau dijadikan hadiah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Mengulas pilihan pembaca terhadap buku umum berkaitan sejarah, geopolitik dan isu antarabangsa, Roziyana berkata, bahan bacaan berkenaan mempunyai kelompok pembaca tersendiri berbanding novel dan buku fiksyen."Buku berkaitan sejarah, geopolitik dan isu antarabangsa mempunyai kelompok pembaca tersendiri kerana minat mereka berbeza daripada pembaca novel atau buku fiksyen. Setiap kategori mempunyai pembacanya masing-masing," katanya.Beliau berkata, Karangkraf akan terus menerbitkan buku berdasarkan permintaan pembaca bagi memenuhi minat serta keperluan golongan pembaca yang berbeza.Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Kumpulan Buku Karangkraf, Afifa Naqiah Johari berkata, jualan gudang itu bukan sekadar platform menawarkan buku pada harga promosi, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan Karangkraf dalam menggalakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.Pada masa sama, Karangkraf turut meneruskan usaha menggalakkan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak menerusi penganjuran Kem Smart Jawi Junior 2026 pada 19 dan 20 Disember ini.Program bersama penulis buku Smart Jawi, Tcer Lysa itu menawarkan kelas Asas Jawi untuk kanak-kanak berusia enam hingga lapan tahun pada 19 Disember, manakala kelas Jawi Lanjutan bagi peserta berusia sembilan hingga 12 tahun berlangsung pada 20 Disember.Kem berkenaan akan diadakan dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang di Karangkraf, Shah Alam, dengan yuran penyertaan RM100 termasuk dua buku Smart Jawi, modul pembelajaran, makanan, sijil penyertaan dan kit eksklusif Kids Book Club."Pendekatan pembelajaran menerusi aktiviti interaktif dan permainan itu diharap dapat membantu kanak-kanak mengenal huruf, menyambung huruf serta mengeja perkataan Jawi dengan lebih mudah dan menyeronokkan," katanya.