SHAH ALAM: Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada Jumaat ini diharap menjadi titik perubahan kepada penyelesaian isu pemilikan rumah serta bantuan kepada generasi muda Melayu dan Bumiputera.
Hal demikian kerana sebahagian daripada 21.8 juta golongan itu yang 3.7 daripadanya adalah graduan muda dalam pasaran kerja belum memiliki rumah pertama walaupun mempunyai pekerjaan tetap serta pendapatan stabil.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, realiti di negara ini apabila purata harga rumah menghampiri RM500,000 bertentangan dengan majoriti pembeli rumah yang terdiri daripada golongan muda baru membina kerjaya dan keluarga.
“Lebih membimbangkan, negara masih merekodkan puluhan ribu unit rumah siap yang tidak terjual. Pada separuh pertama 2026 sahaja, lebih 33,000 unit rumah siap bernilai hampir RM18 bilion masih belum menemui pembeli.









