AYER KEROH : Selepas hampir tujuh bulan tidak menjamah makanan Anaconda hijau atau nama saintifiknya, Eunectes murinus yang dinamakan Diana 'menghadiahkan' 10 anak di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong, berkata, kejayaan kelahiran 10 Anaconda hijau pada 5 Oktober lalu di pusat konservasi berkenaan selepas Diana sepanjang 2.74 meter melalui tempoh bunting kira-kira 190 hari.
Beliau berkata, ia bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam usaha konservasi hidupan liar, malah mencatat kejayaan pembiakan generasi kedua spesies itu.
Katanya, ia sekali gus mengukuhkan kedudukan pusat berkenaan sebagai pemegang populasi Anaconda hijau terbesar di Malaysia, dengan jumlah keseluruhan melebihi 40 ekor.









