Jakarta: Lebih 400,000 orang mengalami penyakit pernafasan akut di beberapa wilayah dilanda jerebu, dengan kanak-kanak mencatatkan jumlah kes tertinggi, ketika risiko kebakaran masih berterusan di beberapa kawasan di Kalimantan dan Papua berikutan musim hujan bermula lewat.
Jakarta Post melaporkan, jerebu toksik akibat kebakaran hutan dan tanah gambut menyebabkan sekurang-kurangnya 425,167 kes penyakit pernafasan akut direkodkan di tujuh wilayah di Kalimantan dan Sumatera antara 20 Ogos hingga 5 November, menurut Kementerian Kesihatan.
Wilayah terbabit ialah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur.
Hampir separuh daripada jumlah kes iaitu 184,018 kes, membabitkan kanak-kanak berusia sembilan tahun dan ke bawah, meningkat lebih 37,000 kes dalam tempoh hanya dua minggu.






