GEORGETOWN: Kelewatan pelaksanaan projek lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) kembali menjadi perhatian, sekali gus mencetuskan penelitian semula projek perolehan bernilai RM11.22 bilion itu.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng, berkata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 semalam mendapati projek itu ketinggalan 7.55 peratus daripada jadual sehingga 25 Jun lalu, dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari.
Beliau berkata, laporan itu memberi amaran kelewatan itu boleh menjejaskan penyerahan fizikal kapal LCS pertama (LCS 1), yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos lalu.
Katanya, projek itu sebelum ini berdepan penelitian berterusan berhubung kos dan jadual penyerahannya dengan tarikh sasaran baharu kini ditetapkan pada 26 Disember depan.









