KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan mendapat akses bilik kawalan menempatkan lebih 5,000 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), syarikat itu bersetuju supaya AKPS diberikan autoriti bagi memperkukuh aspek keselamatan di pintu masuk negara itu.
Katanya, bilik kawalan berkenaan adalah di bawah pengurusan MAHB bagi tujuan pemantauan penumpang di lapangan terbang, namun tidak khusus kepada aspek keselamatan.
"Justeru sekarang, kerana AKPS agensi baharu bertanggungjawab mengenai kawalan sempadan, perbincangan sudah saya mulakan dengan MAHB supaya akses terhadap bilik kawalan, sumber maklumat daripada lebih 5,000 CCTV itu bukan saja MAHB yang mengawalnya tetapi juga AKPS turut diberikan autoriti.






