KUMPULAN Insomniacks yang baharu melancarkan album sulung, Kami Insomniacks menzahirkan rasa terharu apabila persembahan penutup sesi jelajah di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini menerima sambutan hangat.

Situasi itu mencerminkan sokongan padu peminat terhadap perjalanan muzik kumpulan berkenaan, khususnya dalam meraikan pelancaran album sulung mereka yang menghimpunkan 12 lagu baharu.

Pada masa sama, persembahan di ibu negara itu juga menjadi destinasi terakhir jelajah berkenaan selepas Insomniacks bertemu peminat di beberapa lokasi termasuk Johor.

Pemain bass, Wan Arif Iskandar berkata, peluang mempersembahkan lagu daripada album berkenaan secara langsung buat pertama kali menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang menjayakan jelajah itu.