Kebelakangan ini, terdapat beberapa kes yang berkaitan akidah Islam telah diviralkan di media sosial. Ia melibatkan kes seperti pengamalan ritual agama lain, pengisytiharan keluar daripada agama Islam dan kes pemujaan patung. Semua ini adalah isu atau kes yang sangat berat dan tidak boleh dipandang ringan serta dibiarkan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi ia melibatkan perkara yang paling asas dalam agama Islam iaitu akidah tauhid.
Akidah tauhid adalah perkara yang paling asas dalam agama Islam. Ia wajib dijaga dan dipertahankan setiap umat Islam di sepanjang hidup mereka. Dalamnya terangkum pengakuan tentang kewujudan dan keesaan Allah SWT (keimanan) dengan berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis. Pengakuan ini dimulai kepercayaan dengan hati, kemudian berikrar dengan lidah dan seterusnya dibuktikan dengan amalan.







