PETALING JAYA: Tiga rakyat Malaysia termasuk sepasang suami isteri yang ditahan di Mauritius pada 2 November lalu selepas menyeludup kira-kira 76 kilogram (kg) ganja dipercayai ditawarkan upah sebanyak RM1,000 bagi setiap bagasi yang dibawa ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan dari Pulau Pinang berusia 22 dan 18 tahun itu direkrut selepas ber­kenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi RedNote.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dihubungi seorang individu melalui aplikasi Telegram selepas berkenalan menerusi aplikasi RedNote.

“Individu itu menawarkan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap bagasi yang dibawa ke Mauritius,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.