JASIN: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kerajaan Melaka mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi membangunkan kawasan perindustrian baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan, khususnya syarikat berteknologi tinggi.

Mohamad berkata, beliau sudah mengemukakan cadangan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berikutan kawasan perindustrian sedia ada di negeri itu semakin sesak.

Keadaan itu sekali gus mengehadkan peluang kepada pelabur baharu dan sedia ada untuk mengembangkan operasi masing-masing.

Beliau berkata, Melaka sejak sekian lama dikenali sebagai hab perindustrian, khususnya dalam sektor semikonduktor dan pembuatan automotif, namun kekurangan tanah perindustrian yang sesuai menjadi halangan utama kepada pertumbuhan selanjutnya.