PUTRAJAYA: Penyelidik digesa memperkukuh kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan hasil penyelidikan bioteknologi dapat dimanfaatkan untuk menjana nilai ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, universiti juga perlu menghubungkan kepakaran penyelidikan dengan keperluan pasaran, manakala agensi kerajaan berperanan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong pembangunan sektor berkenaan.

Menurut beliau, pelabur turut perlu memainkan peranan dengan menyokong teknologi yang mempunyai potensi, selain kerjasama antarabangsa yang dapat membuka akses kepada kepakaran, infrastruktur dan pasaran di luar negara.

“Bioteknologi pada asasnya digerakkan oleh keupayaan manusia. Kepada penyelidik muda dan pelajar, hasil kerja anda amat penting kerana penyelidikan yang dijalankan hari ini berpotensi menghasilkan varieti tanaman lebih baik, teknologi diagnostik, vaksin, bahan berasaskan bio atau syarikat pemula niaga bioteknologi yang berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada perasmian Simposium Bioteknologi Kebangsaan 2026 (NBS 2026) di sini hari ini.