Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, S Indra Nehru memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu undang-undang serta merit dalam permohonan bekas Ahli Parlimen Baling itu yang perlu dibicarakan.

Beliau juga membenarkan penangguhan ad interim sementara menunggu prosiding seterusnya.

Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk pengurusan kes termasuk bagi menentukan tarikh pendengaran semakan kehakiman.