Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang menggunakan model pembiayaan hibrid bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sebaliknya akan melaksanakannya menerusi kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) dengan pembida yang berjaya menanggung sepenuhnya kos pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, projek lebuh raya sepanjang 122 kilometer itu perlu dilihat secara menyeluruh bersama pelbagai projek infrastruktur yang sudah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.

"Pembiayaan hibrid adalah sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, LPT3 perlu dilihat bersama semua projek infrastruktur yang sudah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.

"Setakat ini, tiada cadangan pembiayaan hibrid dikemukakan," katanya ketika pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.