SATUN – Tiga pelajar sekolah cedera, termasuk seorang parah dalam letupan bom di wilayah Satun, manakala beberapa siri serangan bom turut dilaporkan di Yala dan Songkhla sejak Selasa malam hingga pagi hari ini.

Ketua Polis Bahagian Ke-9 Leftenan Jeneral Polis Piyawat Chalermsi berkata bom yang dipercayai diletakkan berhampiran tiang elektrik di kawasan Ban Khiriwong, Satun meletup kira-kira 7 pagi dan mengenai sebuah van yang membawa lebih 10 pelajar sekolah.

“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Thung Wa untuk rawatan, manakala laluan berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, lapan insiden pengeboman dan pembakaran dilaporkan berlaku di lima daerah di wilayah Yala kira-kira 9 malam Selasa, dengan serangan menyasarkan pejabat pentadbiran tempatan, kenderaan kerajaan dan kemudahan awam.