KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 4 petang berhubung kejadian seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis bersama-sama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digegaskan ke lokasi untuk membantu mengawal keadaan.
“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang berusia 26 tahun dan berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya semasa sidang akhbar di Hospital Selayang di sini malam tadi.








