LONDON – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan dua perlumbaan terakhir perlumbaan Formula Satu (F1) 2026 di Grand Prix (GP) Qatar dan Abu Dhabi akan berlangsung mengikut jadual meskipun ketegangan di Asia Barat masih berterusan.

Presidennya, Mohammed Ben Sulayem berkata, badan induk itu bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan GP Qatar pada 29 November dan GP Abu Dhabi pada 6 Disember bagi menutup tirai musim ini.

“Kami bersedia untuk Qatar dan Abu Dhabi. Kami komited sepenuhnya untuk menganjurkan dua hujung minggu perlumbaan Grand Prix yang hebat serta penutup yang luar biasa bagi Kejuaraan Dunia Formula Satu FIA,” katanya.

Pengesahan itu hadir selepas kebimbangan terhadap tahap keselamatan di rantau berkenaan sebelum ini menyaksikan GP Arab Saudi dibatalkan, manakala perlumbaan di Bahrain ditangguhkan sebelum dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia.