PETALING JAYA: Pelakon, Janna Nick meluahkan rasa putus asa untuk mencuba mendapatkan zuriat (TTC) susulan perubahan fizikalnya kerap menjadi bahan kritikan sejak kebelakangan ini.
Menurut Janna, dia sudah muak menjadi mangsa ‘bodyshaming’ meskipun sudah memaklumkan perubahan fizikalnya berlaku kerana kesan daripada perubahan hormon yang dialaminya sepanjang dalam fasa perjuangan ‘garis dua’.
“Mulai hari ini, saat ini, saya sudah putus asa untuk terus mencuba mendapatkan zuriat. Saya secara rasmi menamatkan perjalanan TTC saya dan akan memulakan misi untuk kurus,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Perkongsian itu dimuat naik oleh Janna selepas terkesan apabila bentuk badannya kerap menjadi bahan kutukan sebuah portal, malah turut mempersoalkan penerimaan suaminya, Dini Schatzmann.








