PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang bekas kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.

Elemen rasuah itu dipercayai diterima daripada seorang pengarah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek penyelenggaraan jalan pencawang elektrik bernilai kira-kira RM95 juta di seluruh Semenanjung Malaysia.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 November depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.