KUALA LUMPUR: Bukan hanya berdepan cabaran mengawal serangan lawan di atas padang, pertahanan Selangor, Adib Raop, turut berdepan pengalaman kurang menyenangkan apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan ketika membeli tiket konsert kumpulan Indonesia, Wali Band.

Pemain berusia 27 tahun itu berkongsi pengalaman berkenaan menerusi satu hantaran ringkas di Threads yang mencuri perhatian apabila menulis: "Kena scam beli tiket Wali Band."

Difahamkan, Adib dipercayai membeli tiket berharga RM160 bagi menyaksikan konsert Wali Exclusive - One Night Only yang dijadual berlangsung pada 21 November ini di MegaStar Arena, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, urusan pembelian itu tidak berjalan seperti dijanjikan apabila individu yang menawarkan tiket berkenaan didakwa terus menyekatnya sebaik sahaja bayaran dipindahkan.