MANCHESTER: Michael Carrick dilaporkan menitiskan air mata ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pemain Manchester United selepas dipecat daripada jawatan pengurus kelab itu selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan.

Bekas pemain tengah United berusia 45 tahun itu dipanggil menghadiri pertemuan di pusat latihan Carrington sebelum dimaklumkan mengenai penamatan tugasnya. Carrick dan barisan kejurulatihannya dilaporkan bakal menerima pampasan berjumlah 5 juta pound (RM27 juta).

Menurut laporan media antarabangsa, pemecatan itu turut menyaksikan perbelanjaan United untuk membayar pampasan pengurus sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013 meningkat melebihi 100 juta pound (RM541 juta).

"Dia menangis ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pemain. Dia pada dasarnya hanya berkata, 'Saya sudah tiada, kawan-kawan', sebelum bersalaman dengan beberapa pemain, masuk ke kereta dan beredar," kata sumber yang dipetik SunSport.