KUALA LUMPUR: MISC Group menyewakan kapal pembawa gas asli cecair (LNG) generasi baharunya, Th'ailib, kepada QatarEnergy bagi tempoh tetap 15 tahun bermula tahun ini.

Th'ailib adalah kapal pertama daripada tiga kapal pembawa LNG binaan baharu yang diperoleh MISC menerusi perjanjian sewaan masa jangka panjang dengan syarikat tenaga Qatar itu.

MISC dalam kenyataan berkata, penyerahan Th'ailib mengukuhkan lagi penyertaan kumpulan dalam program pengembangan armada LNG QatarEnergy.

"Susulan penyertaan Fasa Satu melalui pengaturan konsortium yang melibatkan 12 pengangkut LNG, MISC telah memperoleh tiga kapal lagi di bawah Fasa Dua.

"Secara kolektif, 15 kapal ini akan mengukuhkan peranan MISC dalam menyokong keperluan pengangkutan LNG jangka panjang QatarEnergy," katanya.