Kuala Lumpur : Pemilik jenama perniagaan terkemuka disarankan supaya menawarkan pakej francais pada harga mampu milik bagi membuka ruang kepada lebih ramai peniaga kecil mengusahakan cawangan sendiri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil berkata, pendekatan serampang dua mata itu bukan sahaja membantu pemilik jenama meluaskan empayar pasaran, malah turut membuka peluang rezeki kepada golongan peniaga kecil berkembang.
Selain itu, katanya, golongan usahawan berpengalaman juga digalakkan berkongsi kepakaran membina perniagaan menerusi kursus tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyalurkan suntikan modal kepada syarikat tempatan.
"Buat usahawan yang mempunyai lebihan modal, melaburlah ke dalam syarikat tempatan bagi membantu membiayai projek peniaga kecil dan mengembangkan ekonomi tempatan," katanya selepas merasmikan dialog keusahawanan Jom Mengopi 5.0 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, kelmarin.








