KUALA LUMPUR: Penganjuran Liga Juara-Juara Selangor (SCL) sejak tahun 2016 memperlihatkan perkembangan positif apabila kualiti persaingan semakin meningkat dengan kehadiran ramai pemain profesional, termasuk bekas pemain kebangsaan.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAS, Datuk Dr PS Sugumaran berkata, penyertaan kelompok pemain berpengalaman itu memberikan nilai tambah kepada SCL apabila tahap permainan semakin berkualiti, kompetitif dan sengit.
Menurutnya, kehadiran pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di peringkat profesional turut meningkatkan standard pertandingan, sekali gus menjadikan SCL bukan sekadar medan persaingan pasukan amatur.








