Tiada manusia yang maksum daripada dosa kecuali para anbia AS. Lantaran itu, setiap manusia pada hari akhirat kelak akan memikul beban dosa masing-masing. Pada masa ini, antara yang sangat mereka harapkan dan hajatkan adalah syafaat. Pada siri lalu, penulis telah menjelaskan mengenai siapa yang dapat memberi syafaat. Pada kali ini, penulis akan menjelaskan pula mengenai amalan yang dapat menarik syafaat buat pengamalnya.

Antaranya ialah pertama, syafaat ucapan kalimah tauhid. Abu Hurairah RA meriwayatkan: Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu pada hari kiamat?" Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku telah menduga, wahai Abu Hurairah, bahawa tidak akan ada seorang pun yang lebih awal mendahuluimu untuk bertanya kepadaku tentang hadis ini, kerana aku melihat betapa gigihnya kamu dalam menuntut hadis. Orang yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari kiamat ialah sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) secara ikhlas daripada hatinya atau dirinya." (Riwayat al-Bukhari)