WANITA tidak seharusnya menunggu sehingga mengalami kesakitan atau menyedari kehadiran ketulan sebelum mendapatkan pemeriksaan kanser payudara.

Ramai wanita begitu prihatin terhadap kesihatan suami, anak dan ahli keluarga lain, namun apabila membabitkan diri sendiri, pemeriksaan kesihatan sering diletakkan di kedudukan paling akhir.

Kesibukan menguruskan rumah tangga, tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab terhadap keluarga menyebabkan sesetengah wanita sanggup mengetepikan perubahan pada tubuh, malah memilih untuk menunggu sehingga mengalami kesakitan sebelum mendapatkan pemeriksaan.

Lebih membimbangkan, masih ada tanggapan bahawa kanser payudara hanya perlu diberi perhatian apabila muncul ketulan atau rasa sakit sedangkan perubahan pada payudara tidak semestinya disertai gejala berkenaan.