PETALING JAYA: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai institusi rujukan koperasi antarabangsa selepas 70 tahun penubuhannya apabila menerima pengiktirafan Cooperative Cultural Heritage (CCH) oleh International Cooperative Alliance (ICA) baru-baru ini.
Di samping itu, IKMa terus membuktikan peranannya apabila melatih kira-kira 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan serta bimbingan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, IKMa turut mencatat pencapaian membanggakan dari segi impak tahunan apabila konsisten melaksanakan purata 700 program.
Menurutnya, impak daripada program-program berkualiti tinggi ini berjaya meresap jauh ke dalam komuniti, menyaksikan penerima manfaat langsung mahupun tidak langsung mencecah hampir 55,000 orang setiap tahun.









